Another great RocketTheme Joomla Template brought to you by the RocketTheme Joomla Template Club.

Log Masuk

Members Online

No Users Online
Coretan Ibu: Fontan Surgery Sufiah Di Vancouver
Written by eLva   
Tuesday, 09 March 2010

 

 

Dari Los Angeles, ke London dan kini di Vancouver ramai para doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang telah kami temui dan kami sangat berterimakasih di atas jasa semua yang telah membantu merawat Sufiah. 

 

Sewaktu umur Rasulullah salallahu alaihi wasalam lima tahun, sedang beliau mengembala kambing bersama saudara susuannya, Baginda telah didatangi oleh dua orang berpakaian serba putih. Menurut abang susuannya dia telah menyaksikan lelaki sasa itu membelah dada Baginda sebelum berlari pergi mendapatkan Ibu Bapa susuan Halimah dan Harith.


Mengenang kembali peristiwa itu, Baginda menyatakan Malaikat Jibrail telah membelah dadanya dan membersihkan hatinya dengan air zam zam. Mendengar kisah amat luarbiasa ini, menjadi seakan penawar bagi hati Sufiah yang berat memikirkan tentang pembedahan jantung kali ketiga buat dirinya yang baru meraikan ulangtahun ke tujuh. Doktor akan membelah lagi di parut di dadanya yang telah dibelah dua kali sebelumnya.


Beberapa minit sebelum dibawa pergi ke bilik pembedahan Surgeon Sufiah, Dr Campbell memberi penjelasan yang amat teliti akan apa yang bakal dilakukan ke atas Sufiah. Kemudian dia teruskan dengan risiko-risiko dan kadar Sufiah bakal menghadapi pelbagai komplikasi yang bisa berlaku. Tak dapat nak diungkapkan bagaimana terkejut dan cemas perasaan seorang Ibu mendengarkan fakta-fakta sedemikian rupa. Di saat inilah tiada apa lagi yang dapat membantu melainkan dengan memohon doa kepada yang Maha Esa agar diberikan kemudahan supaya pembedahan berjalan dengan tenang dan sempurna.


Penantian yang memakan masa lima jam bagaikan terlalu lama. Setiap detik, setiap saat, terbayang di hadapan mata apa yang pasti sedang berlaku di dalam bilik itu. Pasrah, ia bagaikan tali yang sukar digenggam. Hati begitu cemas, apakah yang bakal menemui kami di akhir penantian ini? Tiada lain melainkan meminta kekuatan iman dan kecekalan untuk terus menunggu dengan sabar. Lima jam berlalu tetapi masih tiada panggilan dari doktor atau nurse. Semakin cemas rasa hati tak terhingga. Kami pun bergegas kembali ke Daycare Surgery untuk mendapatkan informasi mengenai pembedahan anak kami.


Rupa-rupanya doktor tidak diberikan nombor talipon kami lalu dia tidak dapat menghubungi kami. Masuk sahaja ke wad Intensive Care Unit, perasaan lega berbaur sayu melihat Sufiah pucat dan sedang berbaring tidak bermaya. Dengan balutan di dada dan berbagai tube-tube dan mesin yang disambungkan ke badannya, amat memilukan hati Ibu, tapi dia sudah mulai sedar dan itulah saat yang paling bahagia - bila dia mula mengenali kami Ibu Bapanya. Rasa syukur yang amat sangat dia masih bersama kami. Alhamdulillah.


Apabila ditanya tentang pengalamannya di bilik pembedahan, kata Sufiah ianya bagaikan dia sedang tidur selama lima minit. Seminggu di hospital dia sangat lemah dan keletihan. Walaupun begitu, dia sangat tabah dengan apa yang sedang dilaluinya. Hingga Nurse Colleen yang sudah sepuluh tahun bertugas dengan budak-budak cardiac berkata Sufiah sungguh cekal dan matang kerana ramai pesakit-pesakit yang lebih tua darinya akan sentiasa meraung kesakitan bilamana dirawat dan diberi suntikan. Setiap kali tube dan mesin dicabut dari dirinya bagaikan satu kemenangan. Hingga akhirnya Sufiah bebas dari jarum dan mesin, yang tinggal hanyalah bekas dan parut dari pengalamannya di bilik pembedahan. Anggaran doktor Sufiah perlu ditahan di hospital selama dua hingga tiga minggu. Tetapi di akhir seminggu Sufiah dibenarkan pulang kerana sedang pulih dengan baik. Alhamdulillah.

 

Selepas pembedahan pertama sewaktu dia berumur enam hari di UCLA Medical Center di Los Angeles, oksigen Sufiah di kadar 65-75%. Di akhir pembedahan kedua sewaktu enam bulan, kadar oksigen Sufiah meningkat kepada 85%. Kini oksigennya meningkat lagi ke 92% dan dia bakal lebih aktif dari dahulu, Insha-Allah. Sekarang dia tidak perlukan oxygen tank untuk membantu pernafasannya apabila terbang ke Singapura seperti waktu-waktu dahulu.

 

Kini sudah lebih sebulan sejak pembedahan ketiganya itu. Sufiah semakin hari kelihatan semakin pulih dan bertambah ceria. Hari pertama pulang ke sekolah, teman-teman dan guru Sufiah telah mengadakan Surprise Party buatnya. Tidak sabar mereka menunggu kepulangan Sufiah yang dirindu. Bahagia sungguh dia diraikan sebegitu dengan cupcake, kueh mueh dan berbagai hadiah dari teman-teman dan guru. Sekolahnya juga telah mengumpul dana untuk didermakan kepada BC Children's Hospital sebagai hadiah buat Sufiah.



 Setelah bersekolah setengah hari selama dua minggu dia kini kembali bersekolah sepenuh masa. Walaupun masih agak keletihan, Sufiah gembira dapat kembali bersama teman-teman. Alhamdulillah kami sekeluarga lebih tenang, gembira dan amat bersyukur kini pembedahan Sufiah telah berlalu dan dia semakin sihat. Dari Los Angeles, ke London dan kini di Vancouver ramai para doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang telah kami temui dan kami sangat berterimakasih di atas jasa semua yang telah membantu merawat anak kami. Rasa terharu kami di atas doa, kata-kata semangat dan ingatan tulus ikhlas dari keluarga dan teman-teman di seluruh pelusuk dunia yang telah membantu meringankan dan mempermudahkan perjalanan kami ini. Lebih-lebih lagi teman-teman terdekat yang telah banyak menolong. Semoga Allah memberkati hidup kita semua, memberikan kesihatan dan menerima segala amal ibadah kita. Selama pengalaman kami bersama Sufiah tidak mudah untuk melupakan betapa setiap pernafasan kita merupakan satu anugerah dari Allah. 

 

Menurut hadith riwayat Anas Ibn Malik radhiallahu anhu dia telah nampak parut di dada Rasulullah salallahu alaihi wasalam dari leher hingga ke perut. Agar Sufiah tetap menjadikan Nabi Muhammad salallahu alaihi wasalam sebagai contoh dan inspirasi hidupnya. Insha-Allah.

 

Jazakumullahu khair.

Last Updated ( Sunday, 02 May 2010 )